Friday, March 2, 2018

SECORET NASIHAT BUAT PENGANTIN BARU

Terlebih dahulu pihak masjid mengucapkan tahniah kepada semua yang telah mendirikan rumahtangga. Marilah kita sama-sama mendoakan mereka agar rumahtangga yang didirikan diberkati oleh Allah dengan doa sebagaimana yang dianjurkan oleh baginda Rasulullah SAW iaitu  :

بارك الله لك وبارك عليك وجمعا بينكما في الخير

Maksudnya : " semoga Allah memberkatimu dan keberkatan keatas kamu dan menyatukan kamu berdua dalam kebaikan."

Oleh yang demikian, penulis ingin mengajak semua pembaca merenung sedikit nasihat berkaitan hal ini. Islam telah menggariskan beberapa panduan dalam menjamin kesejahteraan rumahtangga, keturunan dan keselamatan umat, maka syariat Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan agar manusia tidak akan tergelincir ke dalam kerosakan dan kehancuran.

Perkahwinan hendaklah diasaskan kepada beberapa faktor penting untuk menjamin kebahagiaan antaranya ialah :

1. Perkahwinan hendaklah diasaskan dengan rasa taqwa kepada Allah.  Tanpa taqwa, dikhuatiri perkahwinan itu tidak akan mencapai kepada matlamatnya, tambahan pula berkahwin itu juga merupakan ibadat dan sunnah.

2. Perkahwinan hendaklah juga diasaskan kepada rasa Al Mawaddah dan Ar Rahman.  Tanpa dua perkara ini perkahwinan akan hancur dan tinggallah cita-cita sahaja.

3. Sesebuah rumahtangga juga perlu diasaskan kepada dasar hidup bersama secara yang baik dan diredhai Allah SWT.  Maka itulah yang biasa disebut Al Mu’assarah Bi Al Maaruf.

4. Perkahwinan juga berasaskan kepada amanah dan tanggungjawab bukannya kehendak nafsu semata-mata.  Suatu amanah hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, sementara tanggungjawab dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas hati.

Selain itu hendaklah saling faham memahami dan berkomunikasi antara satu sama lain. Doronglah hidup berkeluarga dengan panduan agama yang sebetulnya kearah keredhaan Allah S.W.T. Contohilah Rasulullah SAW dalam kehidupan berumahtangga agar kita sentiasa diberkati dan mendapat mawaddah dan rahmat di dunia dan akhirat.